Thursday, February 3, 2011

Pemimpin zalim bukan untuk dibela.


Assalamu'alaikum..

Alhamdulillah.Dikurniakan oleh ALLAH untuk menulis dan menyampaikan dalam keadaan bimbang kepada saudara-saudaraku di Mesir.


Mengapa?..dan Mengapa?
Soalan ini berlingkaran di minda.

Mengapa masih ada rakyat yang menyokong mereka yang zalim?!
Tidakkah mereka melihat penghinaan pemimpin zalim  ke atas mereka sendiri?Mereka pijak kamu dengan kasut mereka yang berlumuran dengan darah muslim yang tidak berdosa,namun ada pula yang mencucinya dengan tangan dan tubuh mereka.

Kamu melontar batu,menyerang mereka dengan kuda dan unta,kamu membaling bahan-bahan api ke arah saudara-saudaramu sendiri yang mahu menyelamatkan negara, wahai penyokong taghut. Tidakkah kamu takut kepada ALLAH tatkala nanti kamu akan dilontarkan pula ke dalam neraka seperti mana mudahnya kamu melontar batu tadi?

Engkau serbu mereka seperti mereka ini musuh yang jelas di mata engkau,sedangkan musuh-musuh engkau di atas(pemimpian zalim) yang sebenarnya sedang tersenyum indah melihat gelagat di bawah.

Hosni Mubarak dan Sekutu-sekutunya,ingatlah...dan ingatlah juga pemimpin negara Islam yang lain yang zalim secara sedar atau tidak..ALLAH tetap akan memenangkan Islam.Sungguh Janji ALLAH itu benar.
48:28

(Allah yang menyatakan itu) Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad, s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan ugama yang lain; dan cukuplah Allah menjadi Saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh RasulNya itu). 48:28

Wahai Pemuda-pemudi...kita masih bergembira dengan dunia ini.Dilalaikan dengan dunia yang usianya kian hampir kepada penghujung hayat.
Tunisia dan Mesir sudah digegarkan kerana mereka menolak kezaliman. 
Apa kurangnya kita,umat Islam Malaysia?Kita juga zalim pada diri sendiri.Tanpa disedari...kita telah merelakannya dengan hanya berdiam diri.

Zalim ini tidak lari dari faktor-faktor yang jelas terpancar di depan mata:
  1. Kerana dasar sekularisme mencengkam seluruh kehidupan Muslim.Lalu kita menyokongnya dan berdiam diri tanpa melakukan apa-apa perubahan.
  2. Kerosakan sistem yang tidak berlandaskan Islam. Kita diam dan rela tunduk kepada sistem penjajah.Kehakimannya,Pendidikannya,Pentadbirannya, Ekonominya dan pelbagai.
  3. Anak-anak muda menjadi buta kepada Islam dan terlalu celik kepada barat.Menyanjung tinggi pula kehidupannya.Sungguh jelas,hidup masyarakat muslim terasing antara agama dan kehidupan. Kita benar-benar tidak kenal apa hubungkaitnya. Agama hanyalah menjadi silibus untuk kertas peperiksaan baik di pengajian tinggi mahupun pengajian di sekolah-sekolah.
  4. Dilalaikan kita oleh penjajah dengan media-media dan hiburan-hiburan Barat mahupun Timur yang menyokong barat dan menolak Islam.Lalu hal ini dikekalkan secara berterusan.
  5. Aqidah dirosakkan dengan menjadikan masyarakat ini bertuhankan nafsu syahwat.Kita diumpan dengan segala bentuk 'aqidah barat'.Wanita dimanipulasikan untuk melemahkan pejuang dan pembela Islam dari tujuan sebenar kita: menyampaikan risalah ALLAH.
Kembalikan jiwa kita kepada Islam. Islam itu adalah nafas kita.Terhentinya roh Islam,maka terhentilah jasadnya manusia. 
Islam itu adalah darah yang mengalir dalam setiap tubuh muslim. Dunia dan manhaj jahiliyah adalah candu yang ditanam di setiap rumah-rumah Muslim.Ubatilah semula ketagihan jiwa kepada candu dunia dengan antidotenya,ubatan jiwa yang abadi-Islam.

Semangat perjuangan ini hanya akan luntur bila mana kita berputus asa.Seolah-olah kita redha dengan kezaliman.Kita terima seadanya tanpa bangun menolak dan melawan.

Kita bukan sahaja berhadapan dengan musuh-musuh Islam tetapi kita juga berhadapan dengan pengkhianat saudara-saudara seIslam. Siapakah yang lebih zalim di mata akal?Musuh yang berselindung di balik bangsa sendiri harus diusir keluar. Itulah Ben Ali, dan itulah Hosni Mubarak. Namanya saja sudah Islam,tetapi bukan terukir sebagai pejuang. Nama-nama ini akan terus dikenang sebagai nanah dalam daging .

Nanah yang tidak dicuci akan terus merebak.Membawa kerosakan besar kepada bahagian-bahagian badan manusia.Nanah yang kotor ini tidak lain semestinya dikeluarkan dengan kadar segera.

Setiap kali mata terpejam setelah tidak melakukan apa-apa untuk agama dan saudara-saudara kita ,setiap kali itu juga Islam makin berganjak kebelakang. Sudah terlalu nyenyak kita dibuai tidur.Jarum masa sudah tepat pada waktu kebangkitan.Jiwa-jiwa kita memanggil-manggil untuk ditanamkan semula nilai-nilai Islam.

Jalankan perananmu wahai para jemaah Islam! Teruskan genggaman erat kita pada Tali ALLAH!

Mulakan langkah-langkah ini dengan pendidikan asal kita.Quran dan Hadis.Tegakkan semula Islam sebagai asas kepada sistem pendidikan.

" Islam itu adalah punca/asas pendidikan dan bukanlah Islam itu salah satu cabang pendidikan". Setiap cabang ilmu itu adalah berkembang dari asas ajaran Islam.Kerana Ilmu itu berkembang apabila manusia ingin mengenal tuhannya.Hanya dengan Islam manusia mengenal tuhan yang sebenar-benarnya.Ar-Rahman Ar-Rahim. ALLAH yang Maha Esa.
Sekiranya kita hanya menjadikan ia sebahagian dari cabang ilmu bukan asasnya,maka menjadilah Islam itu ranting pada pohon yang sudah dicantas batangnya lalu menjadi pohon tidak berakar. 
Sekiranya ia menjadi asas atau akarnya,maka suburlah tumbuhan itu,berkembanglah ranting-ranting dan dahan-dahannya menjadi dedaunan hijau yang segar dan tenang dipandang mata.Seperti itu jugalah berkembang ilmu-ilmu yang lain dalam kehidupan kita kerna ilmu ini berlandaskan ajaran sebenar,mengetahui hala tujunya seperti menujunya pucuk tumbuhan hijau ke arah sumber cahaya matahari.

Sedarlah,setiap langkah kita itu mengubah dunia,samada ke arah kebaikan mahupun kejahatan.Apabila kita tersedar dan berhati-hati dalam melangkah lalu mendorong langkah itu ke arah jalan ALLAH maka kita sebenarnya sedang mengikuti jalan-jalan Rasulullah dan para sahabah.Itulah jalan Taqwa.Taqwa itu membolehkan kita melihat dengan daya yang hebat.Furqan diberi namanya. Kemampuan melihat dengan jelas kebatilan dan kebenaran.Ini terbukti dalam surah al-anfal 8:29
8:29
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar"
Dengan bekal inilah,kita seterusnya menyedarkan ummah,membangunkannya sepertimana kita membangunkan sebuah rumah untuk anak-anak kita berlindung dari hujan dan panas ,supaya mereka juga terselamat di dunia dan akhirat.

Kesedaran dan Kebangkitan Ummah adalah Ketakutan Musuh yang terpendam sekian lama.

Allahu'alam.





0 comments:

Post a Comment